KUCHING, 26 Okt: Kerjasama baik antara Kerajaan Sarawak dengan anggota perkhidmatan awam di wilayah ini menyumbang kepada kemajuan dan peningkatan pendapatan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkembangan positif itu selari dengan usaha mencapai matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Menurutnya, penjawat awam memainkan peranan paling signifikan untuk merealisasikan hasrat tersebut.
“Kita ada tiga tunjang utama dalam PCDS 2o3o iaitu kemakmukan ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
“Namun kita mahukan enabler, orang yang memproses dan membantu untuk memberikan khidmat ini supaya kita dapat memenuhi tiga tunjang tersebut.
“Sebab itu kita juga bergantung kepada anggota perkhidmatan awam,” katanya pada Majlis Penyampaian Anugerah Konvensyen Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSICA) 2024 di sini, malam tadi.
Pada majlis tersebut, sebanyak 12 kategori dipertandingkan dengan melibatkan 50 Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) pada peringkat akhir.
Anugerah utama iaitu Anugerah Inovasi Premier menjadi milik Kumpulan Bistari dari Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Samarahan dan membawa pulang wang tunai RM15,000.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Setiuasaha Persekutuan Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan.-TVS