KUCHING, 26 Okt: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerima baik permohonan maaf bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai salah laku dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Kita terimalah, kita terima permohonan maaf beliau,” katanya dengan ringkas.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Perasmian Regata Sarawak – Festival Tebingan Kuching 2024, di sini hari ini.
Terdahulu Abang Johari ditanya mengenai permohonan maaf terbuka belas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kejadian salah laku dalam syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Najib membuat permohonan maaf itu pada Khamis lepas menerusi satu kenyataan yang dibacakan oleh anaknya, Datuk Mohammad Nizar Najib, di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Dalam kenyataan itu, Najib berkata, beliau merasa terluka kerana kecurangan yang berlaku dalam 1MDB terjadi di bawah pengawasannya sebagai Menteri Kewangan dan Perdana Menteri.
“Tiada lain yang dapat saya nyatakan selain memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Najib merujuk kepada sabitan kes di mahkamah Switzerland yang melibatkan eksekutif PetroSaudi, serta artikel analisis oleh The Edge yang menunjukkan bahawa beliau bukanlah dalang atau bersubahat dengan Jho Low dalam penyelewengan dana 1MDB.
Beliau menegaskan PetroSaudi dan Jho Low telah memperdayanya dan beliau tidak sedar tentang pengalihan dana 1MDB yang dilakukan oleh pihak tersebut.
Najib turut menjelaskan, pada waktu itu, beliau percaya dana yang diterima merupakan sumbangan politik daripada Kerajaan Arab Saudi yang disahkan pada tahun 2010.
“Sumbangan tersebut tidak pernah menjadi subjek dalam mana-mana prosiding jenayah atau sivil,” jelasnya.
Walaupun siasatan telah dijalankan apabila isu timbul dalam 1MDB, bekas Ahli Parlimen Pekan itu mengakui bahawa beliau terlalu mempercayai penjelasan daripada pihak pengurusan dan lembaga pengarah 1MDB.
“Saya sepatutnya mengambil tindakan yang berbeza,” katanya.-TVS