KUCHING, 26 Okt: Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PMKS) menobatkan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebagai penerima Anugerah Kepimpinan Sri Pertiwi.
Yang Dipertua PKMS Dr Wan Ali Tuanku Madhi berkata, ia merupakan anugerah sulung yang pernah disampaikan PKMS kepada kepimpinan Sarawak.
“Anugerah ini diberikan atas usaha gigih Abang Johari dalam membangunkan dan mengangkat kedudukan Sarawak ke tahap lebih progresif serta makmur.
“Sepanjang tempoh tujuh tahun Abang Johari memimpin Sarawak, wilayah ini telah berkembang dan mencapai kedudukan yang berprestij sehingga berjaya menjulang nama Bumi Kenyalang di persada antarabangsa.
“Ini termasuk dengan inisiatif berkesan dalam mengangkat Sarawak sebagai sebuah negeri maju pada tahun 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam 85 Tahun Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) di Hikmah Exchange & Event Centre di sini, malam ini
Turut hadir Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.-TVS