SIBU, 26 Okt: Seramai 20 orang kanak-kanak berusia 13 hingga 16 tahun dipilih sebagai ahli Majlis Kanak-Kanak Sibu dan mengangkat sumpah untuk memikul tugas tersebut.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, penubuhan majlis itu penting bagi menyuarakan hak kanak-kanak yang perlu didengari kerana ia turut memainkan peranan dalam pembangunan sebuah negara.
“Ini lah masanya untuk menyumbang kepada masa depan negara kerana kanak-kanak adalah pelapis kepimpinan akan datang,
“Mereka ini adalah bakal pemimpin Sarawak pada masa hadapan. Pemimpin, tak semestinya dalam politik, boleh jadi pemimpin di hospital, boleh jadi pemimpin dalam pendidikan, boleh jadi pemimpin di universiti, boleh jadi pemimpin dalam masyarakat, boleh jadi pemimpin dalam industri perbankan dan lain-lain
“Kerana semua kejayaan ini memerlukan anak Sarawak yang berbakat dan mempunyai kepimpinan,” katanya pada Majlis Angkat Sumpah Pertama Majlis Kanak-Kanak Sibu di Perpustakaan Awam Majlis Perbandaran Sibu (MPS) pada Sabtu.
Tambah Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Kerajaan Tempatan dan Perumahan, hak kanak-kanak bukan sekadar akses kepada pendidikan, pemakanan kesihatan, perlindungan, pembelaan dan kesedaran, tetapi juga perubahan konsep.
Menurutnya, MPS akan bekerjasama dengan UNICEF dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk memastikan sistem dan kualiti Majlis Kanak-Kanak itu bertaraf antarabangsa.
“UNICEF mempunyai banyak garis panduan dan bukan sahaja kita mahu mengikuti garis panduan mereka dan menjadi standard mereka, tetapi kita juga mahu menjadi antara yang terbaik,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sim menyeru masyarakat memikirkan dan melihat isu ketagihan telefon bimbit serta buli siber yang dihadapi masyarakat moden untuk membantu memastikan anak muda di Sarawak menjadi lebih baik.
Beliau turut menggesa MPS untuk melihat dan membincangkan semula pelbagai isu dan menterjemahkannya ke dalam dasar.
“Orang ramai jangan mudah bersikap sinis terhadap Rancangan Pembaharuan Bandar Sibu sebaliknya melakukan sesuatu untuk menyumbang ke arah pembangunan dan pembinaan negara bangsa di Sibu,” jelasnya.
Dalam pada itu, Pengerusi MPS Clarence Ting berkata, penubuhan Majlis Kanak-Kanak mencerminkan komitmen MPS untuk memupuk penglibatan sivik dan memperkasakan ahli majlis itu dalam menyuarakan pemikiran dan idea mereka
Katanya, majlis itu bukan sekadar nama, malah peluang untuk kanak-kanak belajar tentang tadbir urus tempatan, memahami cara kerja komuniti dan membuat impak yang bermakna.
Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan Datuk Michael Tiang Ming Tee, Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting dan ADUN Bukit Assek Joseph Chieng-TVS