ASAJAYA, 25 Okt: Waktu daftar masuk dan keluar hotel merupakan budi bicara antara pengusaha premis berkenaan dengan kelulusan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kerajaan cuma boleh memberikan cadangan atau pandangan mengenai perkara itu namun sebarang keputusan berkaitan ditentukan oleh dua pihak tersebut.
“Itu terpulang dan kita tidak mahu ia terlalu tegas dan (tidak perlu) semuanya dikawal kerajaan kerana saya rasa ia tidak baik memandangkan ini adalah industri perhotelan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Tangki Air Kepada Penduduk Asajaya di Kampung Serpan Laut di sini, hari ini.
Isu tempoh daftar masuk dan keluar hotel menjadi hangat kebelakangan ini dengan ada mencadangkan polisi penginapan selama 23 jam sehari sekali gus mengubah polisi yang diguna pakai ketika ini.
Situasi itu mendapat reaksi berbeza banyak pihak dengan Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO) dan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) memberitahu pelaksanaan polisi itu sedikit sebanyak akan meningkatkan kos penginapan.