Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghadiri majlis Memperingati 20 Tahun Tsunami Lautan Hindi dan Hari Pengurusan Bencana ASEAN di Taman Mahkota Jubli Emas, Bandar Seri Begawan, Brunei, yang diadakan selepas Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) kali ke-12. Foto Zahid Hamidi (FB)

Tragedi tsunami perkukuh komitmen ASEAN tentang keperluan kurangkan risiko bencana

ByBernama

PUTRAJAYA, 25 Okt: Tragedi tsunami berupaya memperkukuh komitmen dan kesalinghubungan antara negara ASEAN dan rantau ini tentang keperluan mendesak agar setiap usaha berterusan diselaraskan bagi mengurangkan risiko bencana alam, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menerusi kenyataan hari ini, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata tsunami turut menjadi lebih signifikan bagi pihak berkepentingan untuk mempertingkatkan kesiapsiagaan, kedayatahanan, mitigasi dan kebolehsesuaian dalam menghadapi bencana.

“Hari ini saya telah menghadiri majlis Memperingati 20 Tahun Tsunami Lautan Hindi dan Hari Pengurusan Bencana ASEAN di Taman Mahkota Jubli Emas, Bandar Seri Begawan, Brunei, yang diadakan selepas Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) kali ke-12.

“Majlis ini bagi mengimbau kenangan pahit tragedi tsunami yang meragut lebih 230,000 nyawa di 14 negara, selain memberi impak bencana yang besar kepada komuniti di Asia Tenggara dan rantau Lautan Hindi,” katanya dan menambah majlis itu amat signifikan kerana bencana tsunami pada 2004 telah membentuk semula kaedah menangani dan mengurus risiko bencana.

Ahmad Zahid menghadiri majlis itu dengan diiringi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Datuk Mohd Aini Atan dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Khairul Shahril Idrus.

Sebelum majlis berlangsung, Ahmad Zahid serta wakil dari negara anggota ASEAN telah menanam pokok sebagai simbolik terhadap semangat pemulihan yang berkekalan dan tanda penghormatan untuk daya tahan alam semula jadi serta komuniti yang terjejas.

Selain delegasi dari Malaysia, majlis itu turut dihadiri Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Brunei Datuk Seri Setia Awang Ahmaddin Abdul Rahman.

Brunei merupakan Pengerusi bagi AMMDM kali ke-12 yang diadakan selama tiga hari bermula semalam bertemakan “Membangunkan ASEAN yang Berdaya Tahan melalui Pemulihan Bencana yang Inklusif dan Mampan”.

Mesyuarat itu berperanan sebagai forum untuk bertukar pandangan mengenai pelbagai isu strategik dan terkini serta membincangkan kemajuan semasa dan status perkembangan program di bawah Perjanjian ASEAN mengenai Pengurusan Bencana dan Tindak Balas Kecemasan (AADMER) 2021-2025.

Penyertaan Ahmad Zahid dalam AMMDM kali ke-12 itu mencerminkan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh hubungan diplomatik dengan negara ASEAN serta memperkuat daya tahan rantau ini terhadap bencana alam sekali gus mengerat hubungan dengan rakyat Malaysia yang berada di luar negara. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan