ASAJAYA, 25 Oktober: Kerajaan Sarawak akan mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan pemakaian jaket keselamatan dalam setiap penganjuran sukan air termasuk Regata Sarawak.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata ketika ini klausa bagi mewajibkan pemakaian jaket keselamatan tidak termaktub dalam penganjuran Regata Sarawak namun perserta digalakkan untuk berbuat demikian.
“Ini (pemakaian jaket keselamatan) kita akan usahakan seperti itu, galakan mereka (pelumba perahu) gunakan tapi satu hari nanti kita akan jadikanya sebagai satu syarat mandotari bagi sesiapa yang ingin masuk menyertai sukan perahu lumba harus memakai jaket keselamatan.
“Untuk Regata Sarawak, pra-syaratnya tidak meletakan perkara itu tapi digalakan semua pelumba-pelumba untuk menggunakan jaket-jaket keselamatan, namun saya percaya akan ada yang menggunakan ada dan sebaliknya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Tangki Air Kepada Penduduk Asajaya di Kampung Serpan Laut pada Jumaat.
Abdul Karim berkata, bagi acara perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa, pihaknya tidak berdepan isu pemakaian jaket keselamatan kerana ia sudah menjadi syarat wajib bagi setiap penyertaan peserta dalam acara berkenaan.
Katanya, sama seperti acara bertaraf antarabangsa lain, acara perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa juga mempunyai peraturan ketat yang perlu dipatuhi sebelum kelulusan penyertaan sesebuah pasukan diterima.
Acara Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa memulakan cabarannya hari ini (25 Oktober) hingga 27 Oktober nanti.
Manakala bagi Sarawak Regata akan memulakan cabaranya pada 1 hingga 3 November depan. – TVS