SIBU, 25 Okt: Lelaki yang ditembak individu tidak dikenali di lorong Wong King Huo 21, di sini pada Khamis dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili, mengesahkan bahawa siasatan awal menunjukkan hanya satu das tembakan dilepaskan oleh suspek yang masih belum dikenal pasti.
“Pihak polis kini giat menjalankan usaha untuk mengesan suspek dan menyiasat motif di sebalik kejadian tersebut.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas cubaan membunuh. Kami menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan insiden ini agar tampil membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, mangsa berusia 40-an sedang menunggu anaknya balik dari sekolah cedera ditembak di bahagian kanan belakang badannya.
Dilaporkan ketika kejadian mangsa sedang duduk di bahagian pemandu kenderaan pacuan empat roda sementara penyerang dipercayai keluar dari kawasan semak tiba-tiba melepaskan tembakan dipercayai menggunakan pistol.
Orang ramai boleh menghubungi balai polis berdekatan atau Pegawai Penyiasat Kes, ASP Mohd Fazirul Mohd Fisol, di talian 013-8237737 untuk memberikan maklumat.-TVS