Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama Dato Awang Bemee Awang Ali Basah dan Rita Sarimah Patrick Insol serta ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Semakan Undang-Undang yang lain pada sesi kunjungan hormat di Wisma Bapa Malaysia, Kuching, hari ini. Foto UKAS

Kerjasama dengan Sarawak, Sabah pastikan rang undang-undang tidak bercanggah

ByNur Suhaida Muliyono

KUCHING, 25 Okt: Penggubalan rang undang-undang (RUU) baharu negara perlu mengambil kira kepentingan secara holistik yang turut membabitkan kesan kepada Sabah dan Sarawak.

Mengakui terdapat undang-undang lama yang hanya terpakai di dua wilayah itu, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Semakan Undang-Undang, Parlimen Malaysia, Rita Sarimah Patrick Insol berkata kajian terperinci perlu dilakukan bagi memastikan RUU yang digubal tidak bercanggah.

“Kita melibat urus pihak institusi-institusi Kerajaan Sarawak dan Sabah berkaitan dengan undang-undang khususnya undang-undang yang terpakai, yang telah diangkat sebagai akta tetapi hanya terpakai di Sabah dan Sarawak.

“Kita juga melibat urus badan peguam di Sarawak Advocates Association dan Sabah Law Association kerana mereka adalah pengamal undang-undang dan mereka tahu apakah undang-undang dan akta-akta berkaitan yang tidak lagi relevan dan memerlukan pembaharuan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Rita menambah perbincangan antara jawatankuasa berkenaan dengan Jabatan Peguam Negeri dan Dewan Undangan Negeri (DUN) selaku badan perundangan di Sarawak membuahkan hasil apabila ketiga-tiga pihak akan bekerjasama atas perkara tersebut.

“Sebagai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang menyemak rang undang-undang, kita sentiasa peka bahawa tugas pertama secara umum adalah untuk memastikan undang-undang baharu tidak melanggar peruntukan perlembagaan.

“Bagi Sarawak dan Sabah, kita perlu lebih berhati-hati kerana terdapat senarai negeri dan Senarai Persekutuan. Sarawak dan Sabah ada kelebihan dalam senarai tersebut yakni mereka mempunyai bidang kuasa atas perkara-perkara tertentu,” ujarnya lanjut.

Dalam pada itu Yang Dipertua Dewan Negara Dato Awang Bemee Awang Ali Basah berkata jawatankuasa tersebut juga bertanggungjawab memastikan perlembagaan dan kedaulatan undang-undang menjadi asas kepada Senarai Persekutuan, Senarai Negeri dan Senarai Kuasa Bersama.

“Selain itu, hak istimewa Sarawak juga, kita dapat tentukan mengikut lunas keperluan perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

“Ini adalah untuk negara kita Malaysia, apa yang disebut sebagai konsep keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang,” jelasnya.

Terdahulu, ahli-ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Semakan Undang-Undang yang terdiri daripada Ahli Dewan Negara termasuk Senator Datuk Noraini Idris, Senator Abun Sui Anyit dan Senator Noorita Sual mengadakan kunjungan hormat kepada Abang Johari.

Jawatankuasa Pilihan Khas Semakan Undang-Undang turut dianggotai Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof selaku Timbalan Pengerusi, manakala Senator Datuk Dr Azhar Ahmad dan Senator Musoddak Ahmad sebagai ahli jawatankuasa. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan