KUCHING, 24 OKT: Syarikat rekaan cip semikonduktor tempatan, Sarawak Microelectronics Design (SMD) berjaya melahirkan hampir 100 jurutera dengan kepakaran dalam bidang reka bentuk cip setakat ini, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak itu berkata, ekonomi Sarawak berkehendakan kepada keperluan penghasilan cip yang berupaya meningkatkan pertumbuhan ekonomi dengan mensasarkan negara rantau Asia sebagai pasaran utama.
“Umpamanya sekarang kita berkehendakan kepada jurutera reka bentuk cip, kita melalui SMD telah mengeluarkan hampir 100 jurutera reka bentuk cip dan teknologi ini sangat diperlukan dalam bidang seperti Aeroangkasa, Perkapalan dan Petrokimia.
“Sekarang cip semakin mengecil dan reka bentuknya pula menjadi lebih ringkas, justeru kita memerlukan kepakaran khusus dalam bidang penghasilan tersebut,” kata beliau pada majlis makan malam sempena sambutan ulang tahun ke-10 Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) di Kuching, pada Rabu.
Dalam pada itu Abang Johari optimis CENTEXS menjadi ‘alat’ untuk melahirkan lebih ramai anak muda yang berkemahiran dalam pelbagai bidang.
“CENTEXS bukan lagi pusat belia, tetapi CENTEXS adalah tempat untuk melatih pelajar lepasan ijazah, sesiapa yang mempunyai ijazah dalam bidang aeroangkasa, kewangan dan tenaga boleh diperbaharui, mereka juga perlu dilatih untuk mengaplikasikan penggunaan teknologi.
“Adalah sangat penting untuk kita menerapkan penggunaan teknologi dan saya percaya CENTEXS dapat menyediakan latihan tersebut,”ujar Abang Johari.
Sebelum ini Abang Johari menyatakan bahawa Sarawak memerlukan seramai 500 jurutera dengan kepakaran dalam bidang reka bentuk cip.
Abang Johari juga mengakui bahawa Sarawak berharap untuk melahirkan ramai jurutera yang diperlukan dalam bidang tersebut. -TVS