KUCHING, 24 Okt: Dunia kini berdepan dengan dua krisis yang mengancam kelangsungan hidup manusia di masa hadapan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, masyarakat sekarang berhadapan cabaran hebat perubahan iklim dan keterjaminan makanan.
“Kalau keadaan iklim kita terlalu ekstrem, tiada manusia yang boleh selamat kerana jika kita lihat sekarang, banjir kerap berlaku dan kita tidak dapat nak jangkakan bila bencana itu akan berlaku.
AI buka ruang berfikir tanpa sempadan dalam bidang kewartawanan
“Hal ini membawa kesan kepada bekalan makanan. Kalau banjir atau kemarau susah untuk kita bertanam,” katanya.
Beliau berucap demikian pada Majlis Penutupan Program Latihan untuk Wartawan Sarawak di sini, hari ini.
Ujarnya, Sarawak kini memainkan peranan bagi menangani kedua masalah ini.
“Di Sarawak, kita mempunyai sumber yang mencukupi. Kita mempunyai sumber air bagi menjana tenaga bersih dan sumber cahaya matahari serta kolam bagi penjanaan tenaga solar.
“Kalau kita ada lebihan tenaga, kita boleh berkongsi dengan jiran seperti Singapura dan Indonesia,” katanya.
Program Latihan untuk Wartawan Sarawak yang bermula sejak Selasa menyaksikan seramai 150 pengamal media mengikuti kursus anjuran MPI seperti Kursus Kewartawanan Foto, Workshop on Journalism in a New Media World dan Kursus Kewartawanan Data 2.0: Sentimen Analisis. – TVS