KOTA SAMARAHAN, 24 Okt: Sarawak Metro Sdn Bhd menjalankan kempen kesedaran keselamatan jalan raya kali ketiga tahun ini sebagai usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya.
Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro Sdn Bhd, Mazli Mustaffa berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan advokasi tentang kesedaran keselamatan jalan raya di sepanjang jajaran Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).
Menurutnya, ia sekali gus memupuk dan memperkasa nilai baik serta memberi kesedaran kepada pemandu kenderaan, pejalan kaki dan pekerja binaan di sesuatu kawasan.
“Sarawak Metro akan meneruskan usaha dan advokasi untuk menganjurkan kempen keselamatan jalan raya melibatkan orang ramai terutama di laluan tapak projek kami.
“Bagi kami, aspek keselamatan orang merupakan perkara pertama yang dititikberatkan oleh Sarawak Metro dan saya berharap semua pengguna jalan raya mematuhi arahan pihak berkuasa dan papan tanda keselamatan untuk kepentingan bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya di Kampung Plaie Kota Samarahan hari ini.
Menurutnya, Sarawak Metro akan terus bekerjasama dengan rakan strategik untuk menggalakkan tabiat lebih bertanggungjawab dan selamat dalam kalangan pengguna jalan raya.
Pada kempen tersebut, Mazli turut menyerahkan kit keselamatan yang mengandungi jaket dan risalah keselamatan serta topi keledar kepada pengguna jalan raya.
Kempen anjuran Sarawak Metro dilaksanakan dengan sokongan rakan strategik termasuk Azam Sehasrat Sdn Bhd, IJM Construction Sdn Bhd, Unique Deco Sdn Bhd, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak, Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan dan Pejabat Daerah Samarahan.-TVS