PENAMPANG, 24 Okt: Sebuah pusat komersial yang lengkap dengan meja dan peralatan khas termasuk cip pertaruhan serta diubahsuai seperti ‘mini casino’ diserbu polis, Rabu lalu.
Dalam serbuan kira-kira jam 8.30 malam itu, premis yang terletak di kawasan tumpuan itu didapati menjalankan aktiviti perjudian ‘Bacarat’ dan ‘Poker’ tanpa lesen.
Lima individu termasuk seorang wanita warga asing berusia lingkungan 23 hingga 39 tahun turut berjaya ditahan.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, serbuan dilakukan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.
Katanya, semasa serbuan dilakukan, polis berjaya merampas wang tunai sebanyak RM12,260 yang dipercayai menjadi wang pertaruhan.
“Pasukan operasi turut berjaya merampas pelbagai peralatan perjudian yang ditemui di dalam premis berkenaan.
“Semua tangkapan dan barang rampasan terus dibawa ke IPD Penampang untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sammy berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 6 Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.
Sehubungan itu, Sammy menegaskan pihaknya akan terus membuat pemantauan dan tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti perjudian tanpa kebenaran di daerah ini.
Katanya, masyarakat juga boleh menjadi mata dan telinga untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis.
“Masyarakat dinasihatkan agar terus menjadi mata dan telinga polis dalam memastikan keamanan negara sentiasa terpelihara,” katanya. -TVS