KUCHING, 24 Okt: Program Minggu Literasi Media dan Maklumat berperanan untuk meningkatkan kemahiran literasi peserta agar lebih cakna dalam pencarian maklumat tepat.
Ia menyajikan pelbagai aktiviti literasi yang penuh dengan ilmu pengetahuan terutama dalam perbincangan mengenai kesan transformasi teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) yang semakin luas penggunaannya.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata masyarakat zaman ini perlu ada keupayaan untuk menilai secara kritis kesahihan maklumat, mempersoalkan sumbernya dan memahami konteksnya yang lebih luas.
“Naratif palsu dan teori konspirasi telah merebak seperti kebakaran, menjejaskan usaha kesihatan awam, mempengaruhi pilihan raya dan menyemai perbalahan dalam komuniti.
“Literasi Media dan Maklumat berfungsi sebagai pertahanan terhadap ancaman yang semakin meningkat dan ia memperkasakan individu untuk menjadi bukan sahaja pengguna maklumat tetapi juga penilai yang arif dan pencipta yang bertanggungjawab,” katanya.
Rakaman ucapan beliau ditayangkan pada “Global Media And Information Literacy Dialogue 2024” di Pustaka Negeri Sarawak di sini, hari ini.
Pustaka Negeri Sarawak telah melaksanakan penganjuran Program Minggu Literasi Media dan Maklumat yang akan berlangsung dari 24 Oktober hingga 03 November 2024.
Ia merupakan satu program tahunan yang dianjurkan khas bersempena sambutan Minggu Literasi Media dan Maklumat Gobal anjuran United Nations Educational, Scentfic and Cultural Organization (UNESCO) sebagai platform utama bagi mendidik komuniti tentang peranan mereka dalam dunia maklumat digital serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan terasi media dan maklumat dalam era digital.
Tema utamanya adalah “Sempadan Digital Baharu: Literasi Media dan Maklumat Untuk Maklumat Kepentingan Awam”. – TVS