KUALA LUMPUR, 24 Okt: Kementerian Kesihatan (KKM) mengakui kekurangan mesin Magnetic Resonance Imaging (MRI) dan tempoh menunggu yang lama untuk pesakit menjalani diagnosis awal kanser merupakan cabaran yang dihadapi oleh fasiliti kesihatan awam.
Timbalan Menterinya Dato Lukanisman Awang Sauni berkata KKM kini komited dalam memastikan pesakit mendapat diagnosis awal, khususnya bagi penyakit kanser, dengan meningkatkan kapasiti perkhidmatan MRI dan Computed Tomography (CT) Scan di hospital-hospital awam seluruh negara.
“KKM akan melaksanakan perolehan perkhidmatan mesin CT Scan dan MRI secara sewaan (leasing) agar peralatan sentiasa dalam keadaan baik, mengikut perkembangan teknologi semasa serta diselenggara secara optimum mengikut standard yang ditetapkan.
“Kementerian Kesihatan juga sedang mengkaji penyampaian perkhidmatan alternatif menerusi kaedah ‘pay-per-use’ untuk fasiliti yang bersesuaian. Kaedah ini sedang dikaji dari segi impak dan pulangan pelaburan kepada kerajaan serta keterjaminan keselamatan pesakit,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Ahli Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr Alias Razak meminta Menteri Kesihatan menyatakan sejauh mana kekurangan mesin MRI dan mesin CT Scan di fasiliti kesihatan awam memberi kesan terhadap proses untuk pesakit mendapatkan diagnosis awal kanser pada waktu ini.
Lukanisman turut berkata sistem bekerja secara syif akan dilaksanakan bagi pakar perubatan radiologi (klinikal) di 10 buah hospital yang mempunyai beban kerja yang tinggi dan waktu menunggu yang lama.
Menurutnya, diagnosis awal bagi pesakit kanser sentiasa diutamakan oleh Perkhidmatan Radiologi Klinikal dengan mengambil kira sejarah klinikal pesakit termasuk simptom, tanda-tanda penyakit, keputusan makmal serta hasil perbincangan dengan pakar klinikal yang merawat khususnya pesakit yang disyaki menghidap kanser.
Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan semua hospital negeri dan hospital berpakar major telah dilengkapi dengan perkhidmatan CT Scan iaitu sebanyak 85 unit dan hospital pakar minor di lengkapi sebanyak 17 unit mesin CT Scan.
Manakala, perkhidmatan MRI pula terdapat di semua hospital negeri dan 24 hospital berpakar major yang menjadi lead hospital kepada hospital pakar minor dan tanpa pakar dalam hospital kluster masing-masing. – TVS