BANGKOK, 24 Okt: Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (PATA) dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Sarawak, akan melancarkan program latihan baharu untuk perniagaan pelancongan yang memberi tumpuan kepada teknologi dan Kecerdasan Buatan (AI) di Sarawak, minggu depan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PATA, Noor Ahmad Hamid, berkata program “AI-Driven Transformation: Empowering Sarawak’s Tourism SMEs” bertujuan untuk memanfaatkan potensi AI bagi meningkatkan keupayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam industri pelancongan Sarawak.
Dengan menyediakan alat AI yang praktikal kepada PKS pelancongan Sarawak, beliau berkata ia bertujuan untuk meningkatkan inovasi, daya saing dan kelestarian dalam pasaran pelancongan global.
“PATA mengakui bahawa walaupun AI mempunyai potensi yang besar, PKS memerlukan latihan khusus dan praktikal untuk merapatkan jurang antara pemahaman konsep AI dan penggunaannya dalam konteks dunia sebenar,” kata Noor Ahmad dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Program latihan AI itu dijadualkan berlangsung di Kuching dari 29 Okt hingga 1 Nov 2024.
PATA yang beribu pejabat di Bangkok adalah persatuan keahlian yang bekerja untuk mempromosikan pembangunan pelancongan yang bertanggungjawab di rantau Asia Pasifik.
Noor Ahmad berkata inisiatif latihan AI ini, yang selaras dengan Strategi 2030 PATA, memberi keutamaan kepada transformasi digital, pembangunan mampan dan pemerkasaan komuniti tempatan bagi membantu membimbing perniagaan menjadi bersedia secara digital pada ketika pasaran sedang berkembang pesat.
Menyedari kepentingan memperkasakan perniagaan pelancongan dengan penyelesaian AI praktikal untuk kekal berdaya saing dalam dunia yang semakin digital, Noor Ahmad berkata penyelesaian ini boleh menyelaraskan operasi, mencipta pengalaman pelanggan yang diperibadikan dan menggalakkan amalan mampan.
Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak, Datuk Dennis Ngau turut berkongsi pandangan itu dengan menegaskan komitmen Sarawak dalam mendorong penggunaan teknologi dalam industri pelancongan tempatan dan latihan itu akan memainkan peranan penting dalam memastikan PKS pelancongan Sarawak kekal berdaya saing dalam era digital.
“Dengan menyediakan latihan yang mudah diakses dan sejajar dengan trend global, kami berhasrat untuk meningkatkan industri ini dan memastikan tawaran pelancongan kami kekal relevan dan menarik kepada pasaran yang semakin celik teknologi,” kata Ngau. -TVS