Manchester, United Kingdom 24 Okt : Manchester City mengekalkan prestasi tanpa kalah dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah musim ini dengan Sparta Prague menjadi mangsa terbaharunya.
City bermula garang apabila pemain antarabangsa England, Phil Foden menjaringkan gol pembukaan selepas hanya tiga minit permainan bermula.
Pemain Norway, Erling Haaland menyinar dalam aksi di Etihad Stadium apabila menjaringkan dua gol buat City.
Namun tugas itu tidak mudah buat Haaland kerana pasukan bimbingan Lars Friis berjaya mematahkan sembilan percubaannya ke gawang Sparta Prague di separuh masa pertama.
Gol yang didambakan Haaland akhirnya hadir pada separuh masa kedua di minit ke-58 dan meletakkan City di depan dengan kedudukan 2-0.
John Stones turut mencatat nama selaku penjaring apabila menjaringkan gol ketiga pada minit ke-64.
4 minit berselang, Haaland sekali lagi menewaskan Peter Vindahl dengan tandukan kuat ke gawang gol Sparta pada minit ke-68.
Hantaran licin daripada Rico Lewis, Foden dan Nunes menambah baik gerakan Haaland untuk menjaringkan gol ke-44 dalam Liga Juara-Juara dalam hanya 42 penampilan dalam pertandingan itu.
Matheus Nunes merampas peluang Haaland untuk melengkapkan hatrik ketiganya musim ini apabila Nunes dijatuhkan di dalam kotak penalti.
Pada minit ke-88 pemain antarabangsa Portugal itu mengambil sepakan penalti tersebut seterusnya melengkapkan kemenangan bergaya 5-0 City membenam Sparta.
City mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 26 perlawanan Liga Juara-Juara Eropah dan menjadi satu-satunya kelab yang memegang rekod itu setakat ini. – TVS