KUALA LUMPUR, 24 Okt: Malaysia mahu mempelajari cara China dan Jepun menangani masalah banjir kilat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.
Menurutnya, kaedah intervensi yang kompleks dan berteknologi tinggi yang diadaptasi dua negara itu boleh dijadikan model buat Malaysia dalam menyelesaikan masalah banjir kilat yang sering berlaku di Kuala Lumpur.
“Di Jepun sebagai contoh telah diperkenalkan Kandagawa Storm Water Reservoir di Tokyo. Bagaimanapun, kos yang besar menjadi cabaran kepada kerajaan dalam usaha negara menuju belanjawan surplus,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab persoalan daripada Ahli Parlimen Batu Pahat Onn Abu Bakar yang meminta Perdana Menteri menyatakan tahap kesediaan Kuala Lumpur, yang merupakan pintu masuk utama negara, bagi Kepengerusian ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026 memandangkan isu banjir kilat masih belum diselesaikan dan boleh menjejaskan imej serta persiapan negara untuk acara tersebut.
Beliau menyedari kedudukan Malaysia di mata ASEAN apabila dipilih menjadi Pengerusi ASEAN tahun hadapan dan pihaknya telah bersedia menghadapi banjir khususnya banjir kilat.
Menurutnya, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini meneruskan kerja-kerja penyelenggaraan sistem saliran seperti kolam takungan banjir terbuka, kolam takungan bawah tanah (OSD), penyelenggaraan sungai, parit induk dan longkang di tepi jalan dari masa ke semasa dan berkala terutama apabila ketibaan musim monsun timur laut atau musim tengkujuh.
“Dalam usaha jangka sederhana menghadapi insiden banjir kilat di Kuala Lumpur, DBKL menyelenggara 15 kolam takungan banjir terbuka dan sembilan kolam tertutup bawah tanah di mana semua kolam-kolam takungan banjir telah dilakukan pengorekan kelodak (desiltation) mengikut keperluan semasa dan jadual berkala dan longkang-longkang tepi jalan turut dinaik taraf bukaan sesalurnya bagi mengurangkan implikasi banjir kilat.
“Manakala untuk tindakan jangka panjang pula, pada tahun 2022 dan 2023, sebanyak tujuh projek mitigasi banjir telah siap manakala pada 2024, terdapat 14 projek iaitu dua projek sudah siap, empat dalam pelaksanaan dan lapan di peringkat analisa tender dan seterusnya bagi tempoh 2025 hingga 2027, empat lagi projek dirancang,” katanya lagi.
Tambah Dr Zaliha, pembangunan Kuala Lumpur telah mengintegrasikan elemen climate-change adaptation dan konsep sponge-city yakni setiap kelulusan pembangunan adalah terancang dan perlu mematuhi reka bentuk mengikut Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) Edisi kedua serta Kawalan Hakisan dan Kelodak (ESCP) untuk mengawal aliran air semasa kerja tanah bagi memastikan kesan banjir diminimumkan. – TVS