MIRI, 24 Okt: Unit Risikan Marin (URM) Markas Taktikal Pasukan Polis Marin Wilayah 5 Miri menggagalkan cubaan seorang lelaki menyeleweng 2,000 liter minyak diesel subsidi dalam Op Taring Kontraban di Bekenu di sini, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, lelaki tempatan yang memandu sebuah pikap berkenaan ditahan dalam keadaan mencurigakan pada jam 1.30 tengah hari.
“Hasil pemeriksaan di belakang kenderaan yang ditutup dengan kanvas hijau tersebut didapati terdapat dua tangki berwarna putih berkapasiti 1,000 liter masing-masing tangki berisi minyak diesel.
“Setelah di soal siasat pemandu gagal menunjukkan sebarang bukti berdokumen kebenaran memiliki dan menyimpan barang kawalan tanpa permit atau lesen kebenaran khas daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos sara Hidup (KPDN) Miri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, lelaki tebabit telah melakukan kesalahan dibawah akta Kawalan bekalan 196.
“Jumlah dan nilai rampasan ialah sebuah pikap bernilai RM65,000 dan 2,000 liter minyak diesel bernilai RM6,700.
“Jumlah keseluruhan rampasan ialah sebanyak RM71,700,” ujarnya.
Katanya, semua barang rampasan dan tangkapan diserah kepada Pegawai Penyiasat KPDN Miri untuk siasatan dan tindakan selanjutnya. – TVS