KUALA LUMPUR, 24 Okt: Kawasan Klang tidak berisiko untuk mengalami sinkhole kerana ia tidak didasari batu kapur. Sebaliknya, tanah di kawasan itu terdiri daripada lapisan tanah liat marin (marine clay) yang memerlukan perhatian khusus dalam reka bentuk geoteknik.
Bagaimanapun, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexandar Nanta Linggi menjelaskan, bahawa insiden tanah jerlus di kawasan Klang lazimnya berpunca daripada faktor bukan semula jadi seperti kebocoran paip utiliti, masalah sistem peparitan, kegagalan struktur tanah, atau tambakan setempat.
“Kementerian bertanggungjawab dalam penyelenggaraan jalan-jalan persekutuan, termasuk di Laluan Persekutuan 5 (FT5) di Parlimen Klang. Bagi mengelakkan kejadian tanah jerlus akibat kebocoran paip utiliti, KKR telah menetapkan garis panduan pemasangan utiliti di dalam rizab jalan persekutuan yang perlu mematuhi keperluan teknikal yang telah ditetapkan,” katanya semasa sesi pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Persoalan tersebut dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Klang, V. Ganabatirau berhubung rancangan kerajaan bagi membendung insiden lubang benam di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi, khususnya di kawasan klang.
Tambah Nanta, pemantauan dan penyelenggaraan secara berkala dibuat oleh syarikat konsesi yang dilantik oleh KKR, termasuk memastikan keadaan jalan dan sistem peparitan berada dalam keadaan baik.
Malah tegasnya, sebarang kerosakan akan dilaporkan segera untuk pembaikan.
Selain itu, KKR juga bekerjasama dengan syarikat utiliti bagi memastikan jalan persekutuan yang disenggara oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) sentiasa selamat dan selesa digunakan oleh pengguna. – TVS