KUALA LUMPUR, 24 Okt: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) kini sedang meneliti kerangka perlindungan sosial baharu yang bertujuan untuk menyediakan perlindungan keselamatan sosial secara menyeluruh 24 jam sehari, di luar waktu bekerja.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, berkata skim baharu ini dijangka akan memberi manfaat kepada 7.6 juta pekerja di Malaysia, terutamanya golongan berpendapatan rendah.
“Secara prinsipnya, kerangka ini berupaya merapatkan jurang ketidaksaksamaan sekali gus memastikan tiada pekerja tercicir daripada mendapat perlindungan pada bila tiba masanya.
“Buat masa ini, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyediakan Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan yang merupakan suatu bentuk insuran perlindungan sosial kepada Orang Berinsurans yang layak,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar, mengenai bilakah skim insurans sosial komprehensif akan dilancarkan bagi melindungi pekerja berpendapatan rendah, memandangkan kos sara hidup yang meningkat mengurangkan kemampuan mereka untuk mendapatkan insurans kesihatan yang mencukupi daripada pihak swasta.
Abdul Rahman juga menyatakan bahawa skim ini akan menyediakan faedah perubatan, di mana mereka yang layak boleh mendapatkan perkhidmatan rawatan secara percuma.
“Skim ini juga menawarkan faedah perubatan kepada Orang Berinsurans yang layak, membolehkan mereka mendapatkan rawatan secara percuma atau melalui tuntutan Bayaran Ganti Belanja berdasarkan kadar yang diluluskan oleh PERKESO, tertakluk kepada Akta Fi 1951 di mana-mana klinik atau hospital kerajaan, serta swasta yang berdaftar dengan PERKESO,” katanya.
Beliau menambah, dengan kadar caruman yang rendah, pencarum layak untuk menikmati faedah-faedah perubatan di bawah Akta tersebut, yang secara langsung dapat membantu rakyat, khususnya pencarum dalam kalangan golongan B40. – TVS