KUALA LUMPUR, 24 Okt: Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu menekankan pentingnya transformasi kesihatan digital yang turut melibatkan hospital di luar bandar.
Menerusi peruntukan Belanjawan 2025 yang diberikan kepada sektor kesihatan, beliau berharap kemudahan di hospital dan klinik di luar bandar seperti di Betong selari dengan kemajuan yang ada di bandar dari segi teknologi dan peralatan.
“Hospital Betong perlu dinaik taraf kerana ia juga digunakan oleh penduduk dari kawasan sekitarnya seperti Batang Lupar dan Lubok Antu. Namun, sehingga kini, masih tiada kelulusan untuk menaik taraf hospital ini,” kata beliau ketika ditemui TVS di Parlimen Malaysia di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menyuarakan kekecewaan kerana hospital di Betong masih menggunakan peralatan lama, termasuk komputer untuk kakitangan dan berharap kerajaan dapat memperuntukkan lebih banyak dana bagi menyelesaikan masalah berkenaan.
Pada masa sama, beliau turut membangkitkan keperluan peningkatan kapasiti hospital, jumlah katil, serta nisbah doktor kepada pesakit.
Beliau juga memaklumkan pusat dialisis di Betong dan Debak kini telah mencapai kapasiti penuh dan tidak mampu menampung lebih ramai pesakit.
Menurut beliau, pihaknya di Betong telah bersetuju untuk membina sebuah pusat dialisis baharu menggunakan dana sendiri, namun berharap Kementerian Kesihatan dapat menyediakan kakitangan dan peralatan yang diperlukan.
“Ini adalah situasi menang-menang. Kita sediakan bangunan, dan kerajaan menyediakan tenaga kerja serta peralatan,” tambahnya. Saya berharap pusat dialisis tambahan dapat mengurangkan beban sedia ada dan memberi kemudahan kepada pesakit yang memerlukan rawatan segera ketika mereka pulang bercuti ke kampung halaman,” jelasnya
Selain isu kesihatan, Dr Richard turut berharap agar kerajaan membina sebuah politeknik konvensional di Betong yang dilengkapi asrama untuk pelajar luar bandar.
Jelas beliau, politeknik sedia ada tidak menyediakan asrama dan keadaan ini menyukarkan pelajar dari kawasan pedalaman untuk meneruskan pengajian mereka.
“Saya juga memohon kerajaan terus menaik taraf sekolah-sekolah usang serta tabika KEMAS yang memerlukan kemudahan asas,” tambahnya.
Beliau berharap semua isu ini akan diberi perhatian dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) bagi memastikan pembangunan yang lebih menyeluruh untuk kawasan luar bandar. – TVS