KAPIT, 24 Okt: Inisiatif kesihatan yang diperkasakan oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) dengan kerjasama Yayasan Rose berupaya membantu memudahkan urusan penduduk Kapit dan sekitar.
Residen Bahagian Kapit Galong Luang berkata pihaknya amat mengalu-alukan kempen yang dilaksanakan oleh SEB bagi membantu pihak kesihatan di Kapit ekoran kekangan fasiliti kesihatan di bahagian itu.
“Kita mempunyai sebuah hospital dan klinik kesihatan yang masih mempunyai kemudahan yang agak kurang, namun dengan bantuan SEB dan kerjasama pihak perubatan dan Yayasan Rose, ia akan mempercepatkan perkhidmatan kepada rakyat.
“Inisiatif seperti ini tentunya membantu masyarakat yang berada di pedalaman seperti Long Busan atau dari kawasan Ulu ke Kapit. Untuk ke Kapit sahaja pengangkutan pergi dan balik memakan kos anggaran RM1500,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui TVS selepas Majlis Pelancaran Kempen Pemeriksaan dan Pembedahan Mata 3.0, Kempen Saringan dan Kesedaran Kanser Serviks dan penyerahan mesin ultra bunyi kepada Klinik Kesihatan Kapit di sini pada Rabu.
Dalam masa sama, Pemanca Bahagian Kapit Bunsu Gerinang berkata, dengan bantuan yang disalurkan, beliau tidak perlu berulang-alik ke Sibu lagi untuk mendapatkan rawatan.
“Saya menjalani pembedahan di sini sahaja dan tidak perlu mengeluarkan duit lebih untuk ke Sibu lagi. Kepada mereka yang mengalami masalah sama, boleh sahaja melakukan pemeriksaan di sini kerana segala kelengkapan sudah ada semuanya diberi oleh SEB,” katanya.
Senada dengannya, Penghulu Anyi Kumbong menyambut baik inisiatif SEB kepada penduduk Kapit dan sekitar.
“Saya sangat berterima kasih dan penduduk di sini menyambut dengan baik program SEB. Saya tentunya menyokong jika SEB ingin melaksanakan program seperti ini lagi,” katanya.
Majlis hari ini menyaksikan pelancaran Kempen Pemeriksaan dan Pembedahan Mata 3.0, Kempen Saringan dan Kesedaran Kanser Serviks, sumbangan mesin ultra bunyi baharu kepada Klinik Kesihatan Kapit. – TVS