KOTA SAMARAHAN, 24 Oktober: Pusat Kesejahteraan dan Pembelajaran Kanak-Kanak serta Remaja (CALW) di UNIMAS menjadi pangkalan pertama di Sarawak khusus melakukan penyelidikan untuk menangani keperluan kanak-kanak dan remaja di Sarawak.
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Professor Ir Dr Siti Noor Linda Taib berkata pusat berkenaan akan mengemukakan pandangan penyelidik yang inklusif dalam dua bidang tujahan pusat berkenaan.
Menurutnya, dua bidang berkenaan meliputi pelajar yang tidak tipikal serta kanak-kanak hilang pembelajaran dan kesejahteraan kanak-kanak serta remaja yang tidak tipikal.
“Usaha kalian akan memastikan bahawa pusat ini bukan sekadar sebuah institusi tetapi sebuah pusat komuniti yang aktif dimana impak sebenar dapat dirasakan.
“Pada intinya pusat ini mempunyai nilai-nilai yang kita junjung sebagai sebuah Universiti dan kita mementingkan kecermelangan dalam pendidikan, inovasi dan keterlibatan komuniti serta rakan industri,” katanya ketika berucap merasmikan Pusat Kesejahteraan dan Pembelajaran Kanak-Kanak serta Remaja UNIMAS di Kota Samarahan di sini hari ini.
Beliau berkata, pusat tersebut akan memainkan peranan penting membentuk masa depan lebih sihat dan inklusif untuk generasi muda menerusi penyelidikan, program-program inovatif serta pendekatan pelbagai disiplin ilmu.
Dr Siti menambah, menerusi aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan di pusat berkenaan ia diyakini berupaya membantu merealisasikan potensi minda generasi muda, meningkatkan keyakinan diri seterusnya membentuk generasi tersebut menjadi individu yang memiliki daya tahan tinggi ketika berdepan cabaran.
Dapatan daripada pusat berkenaan juga jelas beliau akan menjadikannya sebagai pusat ilmu srta sokongan penting bukan hanya untuk ahli akedemik tempatan dan luar negara tetapi juga untuk ibu bapa, pendidik, pembuat dasar serta profesional kesihatan. â TVS