LAHAD DATU, 24 Okt: Seekor buaya tembaga ditembak mati selepas membaham seekor lembu di ladang kelapa sawit di Blok 25, Felda Sahabat, di sini, Isnin lalu.
Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Lahad Datu, Sylvester Saimin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kehadiran buaya di kawasan ladang berkenaan daripada orang awam.
Katanya, penduduk bimbang dengan kehadiran reptilia besar itu selepas ia membaham seekor lembu.
“Buaya jantan sepanjang lebih empat meter berkenaan ditemui di kawasan anak sungai kecil.
“Pasukan operasi JHL terus menembak mati haiwan berkenaan menggunakan dua das tembakan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Sylvester berkata, pasukan operasi bagaimanapun terpaksa menggunakan jentolak untuk mengangkat buaya berkenaan bagi dipindahkan ke lokasi lain.
Katanya, bangkai haiwan berkenaan kemudiannya dilupuskan dengan cara ditanam. – TVS