KUCHING, 24 Okt: Orang ramai khususnya penjaga pesakit Alzheimer disaran merebut peluang untuk menyertai sesi webinar ‘Essential Care: Practical Tips for Alzheimer’s Caregivers’ bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dalam mengurus keperluan harian serta tingkah laku pesakit.
Webinar yang dikendalikan pakar perubatan kelulusan Royal Colleges of Physicians, United Kingdom, Dr Tiong Ing Khieng itu bakal memperkasa peserta dengan strategi kehidupan sebenar yang akan mengubah perjalanan penjagaan pesakit Alzheimer.
Menerusi satu kenyataan, antara kandungan utama webinar ini termasuklah menguasai penjagaan harian, menangani tingkah laku sukar pesakit, mencari sokongan untuk menyelamatkan nyawa serta cabaran unik untuk penjaga wanita.
“Ia meningkatkan komunikasi, membina rutin serta mengutamakan kesejahteraan pesakit melalui panduan harian untuk penjagaan yang lebih lancar, selain turut mengajar teknik mengendalikan tingkah laku mencabar seperti pergolakan dan sebagainya.
“Selain itu peserta juga boleh mempelajari secara lebih mendalam mengenai kesan emosi terhadap penjaga wanita,” kata kenyataan itu.
Orang ramai yang berminat untuk menyertai webinar tersebut boleh mendaftar secara percuma di pautan https://bit.ly/Alzheimer2024 atau imbas kod QR yang tertera.
Sesi webinar selama 40 minit itu dijadualkan pada Sabtu, 26 Oktober 2024, bermula jam 8 malam.
Manakala sesi soal jawab selama 20 minit akan dilangsungkan sejurus selepas sesi perkongsian tamat.
Dr Tiong yang merupakan speaker webinar tersebut telah diwartakan sebagai Pakar Perubatan Dalaman di Hospital Umum Sarawak pada tahun 2011 hingga 2013. – TVS