KUCHING, 23 Okt: Dua wartawan TVS memenangi kategori media penyiaran sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Sarawak 2024.
Wartawan Muhammad Hafeezzur Rahman Muzamir bersama jurukamera Aziz Soleh mengungguli tempat pertama menerusi dua siri laporan khas berjudul “Cerita Pak Tambang Kais Rezeki di Sungai Sarawak” dan “E-sampan: Kos lebih murah, kelestarian alam sekitar terpelihara”.
Dengan kejayaan itu, mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM3,100, piala dan sijil.
Lebih membanggakan, laporan itu juga memenangi Anugerah Khas Alam Sekitar Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Press Metal 2024 sekali gus menerima habuan RM10,000.
Sementara laporan ‘SAF berasaskan alga pacu pertumbuhan ekonomi Sarawak’ karya Febright Ansie James dan Aziz Soleh turut memenangi tempat ketiga bagi kategori sama untuk membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,100 , sijil penyertaan dan trofi.

Majlis penyampaian tersebut telah disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada pada Majlis Hari Alam Sekitar Negara peringkat Sarawak 2024 di Kuching pada Rabu. -TVS