Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Kempen Tiga Pihak membabitkan Sarawak Tourism Board, Scoot dan STATOS. Foto STB

STB, Scoot dan STATOS tandatangani perjanjian perkukuh penerbangan Singapura-Sarawak

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 23 Okt: Sarawak Tourism Board (STB) telah menandatangani Perjanjian Kempen Tiga Pihak bersama syarikat penerbangan Scoot dari Singapura dan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Singapura (STATOS) semasa Sesi Jaringan Bleisure Sarawak pada Selasa.

Menurut kenyataan STB, acara tersebut diadakan bagi meneruskan momentum dari kempen ‘Gateway to Borneo’ yang diperkenalkan di Internationale Tourismusbörse Berlin (ITB) pada awal tahun ini, menandakan langkah penting dalam mempromosikan pelbagai tawaran Sarawak serta memperkukuhkan kedudukannya di peringkat global.

“Kerjasama strategik ini bertujuan memperkukuh perjalanan masuk dari Singapura ke Sarawak dengan 14 penerbangan mingguan yang dikendalikan oleh Scoot, peningkatan berbanding 10 penerbangan mingguan pada tahun 2022.

“Ini akan mempromosikan tarikan pelancongan budaya dan pengembaraan di rantau ini, sekali gus menarik lebih banyak trafik ke destinasi-destinasi utama ini dari Singapura,” menurut kenyataan itu.

Kerjasama ini juga menonjolkan komitmen berterusan STB dalam mencipta peluang untuk pertukaran budaya, kerjasama perniagaan dan perkongsian pengetahuan, seterusnya mengukuhkan peranan Sarawak sebagai pintu masuk utama ke Borneo.

Sesi Jaringan Bleisure Sarawak anjuran STB itu juga bertujuan menonjolkan Sarawak sebagai destinasi perniagaan dan pelancongan yang ideal di peta dunia, terutamanya bagi pelancong dari Singapura.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, memaklumkan bahawa Sarawak dan Singapura berkongsi hubungan jangka panjang yang dibina atas asas hormat-menghormati, pertukaran budaya serta kerjasama ekonomi.

“Perkongsian ini mengenai memanfaatkan pengaruh global Singapura serta peranannya sebagai persimpangan utama dalam perjalanan dan perniagaan antarabangsa, membolehkan kita memperluaskan tawaran unik Sarawak kepada dunia.

“Melalui perkongsian bermakna seperti ini, kita memperkukuh kedudukan kita sebagai salah satu destinasi yang semakin berkembang di Asia Tenggara, sambil menegaskan komitmen kita terhadap kelestarian, pelancongan bertanggungjawab, dan hubungan serantau yang lebih kukuh,” ujarnya dalam kenyataan itu.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif STB, Sharzede Salleh Askor berkata bahawa Perjanjian Tiga Pihak ini mencerminkan visi bersama untuk meningkatkan aksesibiliti Sarawak.

Beliau menambah, inisiatif ini akan memberikan pelancong peluang yang lebih mudah untuk menikmati kepelbagaian budaya dan tawaran pengembaraan di negeri itu.

“Bersama Scoot dan STATOS, kami sedang memudahkan para pelawat untuk menerokai yang terbaik dari Sarawak,” katanya.

Sehubungan itu, Ketua Pegawai Komersial Scoot, Calvin Chan menyuarakan bahawa syarikat penerbangan itu gembira dapat menyertai perjanjian yang memperkukuh komitmen Scoot untuk meningkatkan hubungan antara Sarawak, Singapura serta rangkaian luas penerbangannya.

Beliau turut menambah bahawa inisiatif ini akan menyediakan pengalaman perjalanan yang lancar pada nilai yang hebat, memberikan kemudahan kepada pelancong untuk menikmati pelbagai tarikan yang menjadikan Sarawak terkenal. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan