KUCHING, 23 Okt: Kerajaan Sarawak menetapkan sasaran untuk membangunkan sistem paip digital pintar menjelang tahun 2030.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata langkah itu sebagai usaha meningkatkan kecekapan pengurusan sumber air dengan menyediakan pengesanan yang lebih sistematik terhadap struktur saliran paip.
Menerusi teknologi pintar ini, katanya pihak berkuasa dapat memantau keadaan paip secara ‘real-time’, mengenal pasti kebocoran, dan merancang penyelenggaraan yang lebih efektif.
“Kita akan tukar semua paip lama ini di seluruh Sarawak dengan kos RM1.1 bilion untuk diganti dalam tempoh lima tahun, bermakna menjelang 2030, kita sudah ada sistem paip yang baharu dan paip ini akan disambung dengan sistem pintar digital.
“Dalam simpanan data, kita akan masukkan data mengenai paip, lapisan, kedudukannya dan sebagainhya, jadi sekiranya berlaku apa-apa masalah, kita dapat kesan dengan cepat dan mudah, kerana sistem akan memberi amaran di skrin, ini adalah sistem yang pintar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Borneo International Water & Waste Water Exhibition & Conference (BIWWEC) 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), pada Rabu.
Langkah itu katanya diharapkan dapat memperbaiki pengagihan air, mengurangkan pembaziran, dan memastikan bekalan air yang lebih berkesan kepada seluruh rakyat, termasuk di kawasan luar bandar.
Jelasnya inisiatif ini selaras dengan komitmen kerajaan untuk mengoptimumkan penggunaan sumber air dan memperkukuh infrastruktur pengurusan air di Sarawak. – TVS