KUCHING, 23 Okt: Sarawak sedang meneroka teknologi baharu dalam pengurusan air untuk memanfaatkan sumber ini sebagai komoditi ekonomi negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata inisiatif ini selaras dengan matlamat pembangunan mampan (SDG) yang bertujuan untuk membangunkan ekonomi yang berasaskan sumber air.
Dengan pengurusan yang lebih efisien, Sarawak berharap dapat memaksimumkan potensi sumber airnya untuk pembangunan ekonomi yang lestari.
“Air semula jadi, dapat digunakan untuk makan dan minum, jika sumbernya besar sudah tentu ia dapat membekalkan hidroelektrik.
“Sisa air pula, boleh dirawat dan diguna semula oleh semua, bermakna sisa air ini merupakan ekonomi kitaran,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Borneo International Water & Waste Water Exhibition & Conference (BIWWEC) 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), pada Rabu.
Tertarik dengan teknologi yang dipamerkan di BIWWEC, Abang Johari berkata pihaknya sedia menjalankan kajian lanjut mengenai penggunaan teknologi tersebut.
Bagaimanapun beberapa faktor perlu diambil kira, dan bergantung kepada keadaan semasa serta keperluan termasuk dari sudut geografi.
“Proses membersihkan air, sisanya banyak mengandungi mikroorganisma, secara tidak boleh digunakan sebagai bahan penyimpanan karbon, antara lain juga boleh menjadi baja untuk meningkatkan kawasan tanah kita,” katanya.
Tegasnya, pengurusan sumber air yang mampan sangat penting, terutama di Sarawak yang kaya dengan sumber air.
Kata Abang Johari, dengan pendekatan yang betul, Sarawak dapat memanfaatkan sumber airnya secara optimum dan memastikan kelestarian untuk masa depan. – TVS