SINGAPURA, 23 Okt: Sarawak berpotensi menjadi antara penyumbang tenaga bersih global dengan penemuan baharu gas di luar pantai Balingian, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Kita menemukan penemuan baharu di kawasan luar pantai Sarawak, iaitu Balangian. Oleh itu dengan adanya penemuan baharu ini bermakna kita mempunyai banyak potensi untuk membangunkan industri berasaskan gas di Sarawak.
“Jadi, sebab itulah pada masa ini kita mempunyai loji metanol baharu. Salah satu yang terbesar, di mana kita menghasilkan 5,000 tan metanol sehari,” beliau berkata demikian ketika ditemu bual CNBC Asia di Singapura pada Isnin.
Abang Johari juga optimis penemuan tersebut mendorong ekonomi Sarawak berasaskan indutsri petrokimia di wilayah ini sekali gus menyumbang kepada keperluan dunia.
“Oleh itu, penemuan gas ini akan meningkatkan industri petrokimia kita. Selepas metanol, kita sedang merancang untuk ammonia. Dalam tempoh peralihan tenaga ini, kita memerlukan bahan api yang mesra alam.
“Sarawak dikurniakan dengan gas ini dan kita menyumbang kepada keperluan dunia untuk tenaga yang lebih mesra alam bagi keseluruhan ekonomi,” kata beliau.
Dalam pada masa sama, Abang Johari mendedahkan perbincangan antara Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) bagi mengenal pasti formula berkaitan penyeliaan teknikal pengagihan minyak dan gas di wilayah ini bakal dimuktamadkan tidak lama lagi.-TVS