KUALA LUMPUR, 23 Okt: Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), sebagai badan kawal selia pembekalan elektrik di Sabah merancang untuk membeli tenaga elektrik dari Sarawak pada tahun hadapan sebagai langkah menangani masalah bekalan elektrik di negeri itu.
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, menyatakan bahawa pembelian ini adalah sebahagian daripada projek penjanaan elektrik besar yang sedang dirancang oleh pihak ECoS bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan pembekalan elektrik di Sabah.
“Berdasarkan maklumat yang dikemukakan oleh ECoS, beberapa projek besar sedang dirancang, antaranya ialah pembelian tenaga elektrik dari Sarawak pada tahun 2025, pembangunan loji janakuasa baharu berkapasiti 100MW pada tahun 2026 dan 2027, serta pembangunan ladang solar berskala besar dengan kapasiti 100MW pada tahun 2026,” jelas Fadillah menerusi jawapan lisan yang dipaparkan di laman sesawang Parlimen Malaysia.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Sabah akan mengemaskini perancangan ini melalui Pelan Pembangunan Penjanaan Elektrik Sabah, yang akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tenaga Sabah yang diadakan dua kali setahun.
Selain itu, Sabah akan melaksanakan inisiatif untuk meningkatkan potensi penjanaan elektrik melalui sumber hidro, berdasarkan hasil kajian Pelan Pembangunan Hidro yang sedang dibangunkan oleh ECoS.
“Sabah juga akan meneroka sambungtara talian penghantaran dengan Kalimantan Utara, selain menjelajah teknologi dan sumber penjanaan baharu seperti geoterma, angin, dan hidrogen,” jelas beliau.
Menurut Fadillah, pendekatan yang diambil oleh ECoS bersama Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) diyakini mampu menyelesaikan dan mengurangkan masalah penjanaan elektrik di Sabah.
“Kerajaan Persekutuan komited untuk menyokong agenda pembangunan penjanaan elektrik di Sabah agar rakyat dapat menikmati manfaatnya dan memastikan sistem pembekalan elektrik yang lebih stabil dan terjamin,” tambahnya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee telah meminta kementerian berkenaan untuk menetapkan tempoh masa bagi menyelesaikan masalah penjanaan elektrik di Sabah khususnya di kawasan Sandakan supaya rakyat dan sektor perindustrian di negeri itu dapat berkembang dengan lebih baik melalui bekalan elektrik yang stabil.-TVS