SINGAPURA, 23 Okt: Perbincangan antara Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) bagi mengenal pasti formula berkaitan penyeliaan teknikal pengagihan minyak dan gas di wilayah ini bakal dimuktamadkan tidak lama lagi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengesahkan proses perbincangan tersebut berjalan lancar serta ia tidak melibatkan sebarang perjanjian.
“Sekarang kita mempunyai ordinan baharu yang dinamakan Ordinan Pengagihan Gas di mana kita telah melantik Petros sebagai agregator. Fungsi ini (pengumpul gas) diambil alih daripada PETRONAS.
“Oleh itu, pada masa ini, terdapat pengaturan antara PETRONAS dan PETROS untuk mencari formula untuk kedua-duanya bekerjasama menguruskan gas.
“Sebenarnya tidak ada perjanjian. Jadi, ini hanya soal susunan teknikal kedua-dua syarikat tersebut yang akan dimuktamadkan tidak lama lagi,” kata beliau ketika ditemu bual saluran televisyen CNBC Asia di Singapura pada Isnin.
Menerusi temu bual itu, Abang Johari turut mengesahkan kawalan Sarawak ke atas sumber minyak dan gasnya di bawah Ordinan perlombongan minyak (OMO) 1958 iaitu merupakan satu undang-undang yang wujud sebelum pembentukan Malaysia.
“Kami belum memansuhkan undang-undang itu, bermakna ia perlu wujud bersama PDA dan kami akan diberikan pengecualian dari segi pengagihan gas dalam negara,” jelas beliau.
Tegas beliau lagi, ordinan itu menetapkan bahawa minyak dan gas yang ditemui dalam jarak 200 batu nautika dari perairan Sarawak berkeupayaan eksklusif negeri sebagai ‘tidak boleh dirunding’.
Jelas Abang Johari undang-undang sedia ada masih sah meskipun fakta OMO 1958 wujud bersama dengan Akta Pembangunan Petroleum Persekutuan (PDA) 1974.
“Kami tidak memansuhkan undang-undang itu, bermakna ia perlu wujud bersama dengan PDA, dan kami diberikan pengecualian dalam pengedaran gas secara domestik,” kata beliau lagi.-TVS