KUALA LUMPUR, 23 Okt: Peruntukan RM5.9 bilion khusus untuk pembangunan infrastruktur Sarawak dijangka akan mentransformasikan kemudahan asas terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman yang masih memerlukan perhatian khusus.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata keperluan paling mendesak di Sarawak adalah infrastruktur jalan raya yang menjadi penghubung utama di wilayah itu terutamanya di kawasan luar bandar.
“Apabila kita mengatakan tentang infrastruktur asas ini, ia tidak lari daripada infrastruktur jalan raya. Bukan sahaja jalan raya yang bertar mahupun bersimen, malah infrastruktur jambatan belian turut termasuk dalam infrastruktur asas itu yang menjadi penghubung jalan antara jalan-jalan di kawasan kampung dan kawasan-kawasan pesisir luar bandar.
“Ini penting kerana banyak lagi infrastruktur jalan raya di kawasan perkampungan berada dalam keadaan yang sangat tidak baik dan memerlukan dinaiktaraf dan dibaik pulih dengan kadar yang segera,” katanya ketika ditemui TVS di Parlimen Malaysia.
Bagi kawasan Parlimen Igan jelasnya, cabaran infrastruktur lebih ketara kerana kawasannya kebanyakkan masih bergantung kepada pengangkutan sungai untuk pergerakan harian.
Menurut beliau, keperluan asas bagi penduduk Parlimen Igan adalah untuk menghubungkan kampung-kampung yang terpisah dengan kemudahan jalan raya yang baik.
“Perkara yang paling asas yang sangat diperlukan oleh rakyat di Parlimen Igan ialah kemudahan jalan raya untuk menghubungkan dari satu kampung ke satu kampung, dari Pekan untuk ke bandar-bandar yang berdekatan dengan Parlimen Igan,” jelasnya lagi.
Sehubungan itu, Ahmad Johnie berharap peruntukan yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2025 baru-baru ini akan mempercepatkan pembangunan infrastruktur asas di Sarawak dan membawa manfaat besar kepada rakyat Sarawak terutamanya di kawasan luar bandar yang masih ketinggalan dari segi kemudahan asas. – TVS