BINTULU, 23 Okt: Seorang pengawal keselamatan maut selepas motosikal ditunggang kemalangan dengan bas di Jalan Simpang Empat Kawasan Perindustrian Samalaju di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Nixon Joshua Ali berkata, dalam kejadian jam 6.40 pagi itu, mangsa berusia 20 tahun disahkan meninggal di dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Bintulu akibat kecederaan yang dialami.
“Kejadian dipercayai berlaku semasa sebuah bas milik Bintang Jaya Express membawa penumpang iaitu pekerja Kilang OCIM seramai lebih kurang 20 orang dari arah Jalan Saberkas Bintulu menuju ke Kilang OCIM Samalaju.
“Sampai di persimpangan simpang empat berdekatan MDS Supermaket, Samalaju telah melanggar sebuah motosikal yang bergerak dari arah kanan simpang tersebut yang datang dari arah kuarters Eco Park Samalaju menuju ke tempat kerja di SGC Ocim Khomo,” katanya dalam kenyataan hari.
Katanya, pemandu bas beserta penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Beliau menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita yang tidak benar kerana dikhuatiri boleh menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.
“Sekiranya ada mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian boleh tampil dan menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Lydia Allan, Balai Trafik Bintulu di talian 086-338575 atau Bilik Gerakan IPD Bintulu 086-318304,” katanya.- TVS