KUCHING, 23 Okt: Dua peraturan baharu di bawah Ordinan Alam Sekitar (Pengurangan Pembebasan Gas Rumah Hijau), 2023, akan dikemuka kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bulan ini.
Mendedahkan perkara itu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ia melibatkan Peraturan Kelayakan dan Pendaftaran Juruaudit Luar Bertauliah, 2024 dan Peraturan Menyalakan dan Membebaskan Udara, 2024.
“Peraturan ini memastikan juruaudit layak, mematuhi kod etika dan bertanggungjawab untuk pengesahan laporan yang tepat, sekali gus menyokong sasaran pengurangan pelepasan gas rumah hijau Sarawak.
“Manakala peraturan (Peraturan Menyalakan dan Membebaskan Udara, 2024) ini bertujuan mengurangkan pembakaran dan pembuangan rutin, sejajar dengan Inisiatif Sifar Rutin Pembakaran menjelang 2030 Bank Dunia,” katanya.
Antara lain termasuk memastikan pematuhan piawaian alam sekitar untuk mengurangkan pelepasan, terutamanya dalam sektor pengeluaran minyak dan gas.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HSN) Peringkat Negeri Sarawak 2024 di Pusat Acara dan Konvensyen Majma, pada Rabu.
Jelasnya, langkah itu sejajar dengan dasar penting yang diamalkan Sarawak, menggalakkan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga solar dan hidro.
Dengan melabur dalam alternatif tenaga bersih ini, Sarawak katanya berjaya mengurangkan kebergantungannya kepada bahan api fosil dan mengurangkan kesan alam sekitarnya.
Malah pembangunan ladang solar dan loji kuasa hidro bukan sahaja membantu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, tetapi juga mewujudkan pekerjaan baharu dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi di rantau ini. -TVS