KUALA LUMPUR, 23 Oktober: Beberapa kawasan di perairan Sarawak dan Sabah berpotensi menerima pakai teknologi ‘Ocean Thermal Energy Conversion’ (OTEC) bagi menjana tenaga mampan.
Teknologi ini menghasilkan kuasa elektrik melalui perbezaan suhu panas di permukaan air laut dan suhu sejuk air laut dalam dengan menggunakan sebuah enjin khas tanpa sebarang kesan negatif terhadap alam sekitar.
Menurut Pengarah Urusan WIPPD Limited, Raj Mehndir, teknologi ini telah dibangunkan seawal tahun 1880 dan berjaya dikomersialkan pada zaman ini.
“Di Sabah, kita telah mengenal pasti dua kawasan di perairan berdekatan Tawau dan Kudat manakala di Sarawak, terdapat sumber OTEC yang melimpah di perairan Miri.
“Kawasan tersebut sesuai kerana kedalaman air laut, berbanding dengan kawasan perairan di Semenanjung Malaysia di mana kedalaman laut tidak mencukupi aras yang sesuai untuk melaksanakan OTEC. dan kita tidak menemui kawasan yang sesuai.
“Bagi pelaksanaanya pula, Sabah sudah mengambil inisiatif untuk menggubal polisi OTEC pada awal tahun.
“Melalui OTEC, Sabah mampu menjana sekitar 20GW tenaga daripada dua kawasan tersebut,” kata beliau dalam sesi temu bual selepas mesyuarat antara WIPPD dan Global OTEC Resources Limited bersama Timbalan Menteri Ekonomi, Yang Berhormat Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib di Parlimen Malaysia, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Hanifah menyambut baik aplikasi teknologi tersebut, lebih-lebih lagi Malaysia kini sedang dalam proses mentransformasikan ekonomi yang lebih mampan selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang digariskan oleh United Nations (UN).
Ujar Raj lagi, teknologi ini memerlukan satu ke dua tahun untuk dijadikan sumber tenaga boleh diperbaharui selain tenaga hidro, solar, hidrogen, alga dan sebagainya.
“Salah satu kelebihan OTEC berbanding tenaga solar adalah ia boleh menjana tenaga mampan 24 jam meskipun ada gangguan cuaca di laut.
“Ini boleh merubah lanskap bekalan tenaga terutama sekali di kawasan yang bergantung kepada sumber bahan api fosil,” katanya.
Setakat ini, WIPPD dan Global OTEC sedang giat mengadakan sesi libat urus bersama beberapa pihak berkepentingan di Malaysia termasuk Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam selain Kementerian Ekonomi. – TVS