MIRI, 22 Okt:Seorang lelaki tempatan disyaki terlibat kegiatan pengedaran dadah ditahan di sebuah pusat hiburan di sini, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata turut dirampas dadah disyaki ekstasi seberat 38.90 gram di dalam beg silang suspek.
“Pemeriksaan lanjut yang dijalankan telah menjumpai satu beg dan satu plastik hitam di dalamnya terdapat pelbagai jenis dadah disyaki jenis ekstasi seberat 1960.30 gram dan dadah disyaki jenis erimin 5 seberat 20.90 gram.
“Nilai rampasan barang disyaki dadah dianggarkan berjumlah RM4,391.40, turut disita adalah sebuah Perodua Myvi dianggarkan bernilai RM25,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Alexson mendedahkan jumlah keseluruhan rampasan barang disyaki dadah dan sitaan adalah bernilai RM29,391.40.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B,Seksyen 39A(2) dan Seksyen 39a(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Suspek telah dibawa ke Mahkamah Miri bagi permohonan reman di bawah Seksyen 39B ADB 1952 dan diluluskan reman selama tujuh hari,” tegasnya .-TVS