KUALA LUMPUR, 23 Okt: Seramai 23,048 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dari Sarawak direkodkan belum mula membuat bayaran balik sebagaimana sepatutnya, dedah Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
Menteri Pendidikan Tinggi itu berkata, sebanyak 40,687 peminjam PTPTN pula telah membuat bayaran balik tetapi tidak konsisten dan daripada jumlah tersebut, jumlah tunggakan bayaran balik daripada adalah sebanyak RM644 juta, menurut data terkini sehingga 31 Ogos lepas.
“Bagi membantu meringankan beban membayar balik pinjaman, serta menggalakkan peminjam khususnya daripada Sarawak tampil untuk membuat bayaran balik pinjaman mereka, Kerajaan Sarawak telah mengambil pendekatan untuk mengadakan kerjasama strategik bersama PTPTN di mana Kerajaan Sarawak telah bermurah hati untuk membantu membuat bayaran balik pinjaman PTPTN oleh anak Sarawak sebanyak 30 peratus daripada jumlah pinjaman mereka tertakluk kepada peminjam telah membuat bayaran balik sendiri pinjaman mereka sekurang-kurangnya 30 peratus,” katanya menerusi jawapan lisan yang dipaparkan di laman sesawang Parlimen Malaysia.
Zambry Abdul Kadir memuji langkah yang diambil Kerajaan Sarawak atas keprihatinan mereka dalam membantu peminjam PTPTN yang mempunyai masalah kewangan dalam melangsaikan hutang mereka.
“Dalam hal ini, kerajaan negeri lain turut diseru untuk tampil mengambil langkah sebagaimana Kerajaan Sarawak dalam membantu peminjam daripada negeri masing-masing,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan seramai 152,043 peminjam telah membuat bayaran balik pinjaman mereka dengan jumlah patut diterima PTPTN adalah sebanyak RM2.02 bilion.
Bukan itu sahaja, sebanyak 224,432 pinjaman telah diluluskan kepada pelajar dari Sarawak dengan jumlah pengeluaran pinjaman keseluruhan sebanyak RM4.17 bilion.
Terdahulu, Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi mahu Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan jumlah pinjaman dan jumlah pelajar Sarawak yang telah mendapat kemudahan pinjaman PTPTN sejak ia diperkenalkan dan nyatakan berapa orang peminjam yang telah gagal membayar balik pinjaman serta apakah tindakan yang telah dan akan diambil. – TVS