KUCHING, 23 Okt: Program Mobiliti Maya anjuran Fakulti Agroteknologi dan Sains Gunaan (FAAS) menghubungkan pelajar dan pensyarah dari Malaysia dan Indonesia bagi membincangkan potensi bidang agroteknologi dan sains gunaan.
Program kerjasama fakulti Agroteknologi dan Sains Gunaan (FAAS), i-CATS University College, Sarawak dan Politeknik Negeri Sambas (POLTESA), Kalimantan Barat, Indonesia itu diadakan di Bandaraya ini pada 7 hingga 21 Oktober lalu.
Menurut kenyataan i-CATS hari ini, program terbabit dijayakan menerusi siri perbincangan akademik, pembentangan, dan perkongsian ilmu dalam bidang berkaitan.
Pro-Naib Canselor (Akademik) i-CATS University College, Prof. Dr. Philip Nuli Anding dalam kenyataan itu meyakini kerjasama dua institusi pengajian terbabit mendorong kepada kecemerlangan pendidikan sekali gus mengenal pasti cabaran terkini bidang berkenaan.
“Program ini juga membuka peluang untuk kerjasama jangka panjang melalui persidangan yang akan datang, dengan harapan kerjasama yang terjalin dapat terus diperkukuhkan,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Sementara itu, Pengarah POLTESA, Yuliansyah menzahirkan penghargaan kepada i-CATS atas kerjasama yang dijalinkan.
“Bagi pihak seluruh warga POLTESA, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada i-CATS atas kerjasama yang amat berharga ini.
“Pelajar kami memperoleh pengetahuan dan pengalaman baharu dan komunikasi yang erat antara pensyarah dan pelajar menjadi salah satu kejayaan utama program ini,” tambahnya menerusi kenyataan itu.
Terdahulu, program itu disertai 15 pelajar dari FAAS i-CATS University College dan 50 pelajar dari POLTESA. – TVS