KUALA LUMPUR, 23 Okt: Teraju utama filem Tegkang Michelle Lungan mendedahkan pengalaman jatuh sakit ketika menjalani penggambaran filem itu di Bario, Sarawak merupakan cabaran yang tidak dapat dilupakan sepanjang menjayakan naskah cereka berkenaan.
Aktres kelahiran Kuching berusia 28 tahun itu berkata, dia dan pasangannya dalam filem itu iaitu aktor Syafie Naswip jatuh sakit serentak namun mereka perlu meneruskan penggambaran beberapa babak.

“Seperti yang kita tahu, Bario terletak jauh di kawasan pedalaman dan susah hendak pergi ke sana.
“Oleh itu perkhidmatan kesihatan termasuk bekalan ubat – ubatan agak terhad dan disebabkan kami berdua jatuh sakit serentak, ubat di klinik di sana hampir habis kerana digunakan untuk rawatan kami,” katanya berkongsi pengalaman dengan TVS pada Progam Lan Berambeh di sini baru – baru ini.
Filem Tegkang arahan Josh Nawan merupakan filem pertama menggunakan bahasa Kelabit dengan hampir 99 peratus penggambaran dilakukan di Tanah Tinggi Kelabit pada tahun lepas dengan hanya satu babak dijayakan di ibu negara.
Tegkang yang bermaksud pelangi itu bertemakan kekeluargaan namun sarat dengan unsur rahsia dijadual menemui penonton di pawagam pada 28 November ini.
Sementara itu pemegang ijazah sarjana muda perhubungan awam daripada Universiti Lim Kok Wing iitu berkata, Tegkang merupakan filem pertamanya sejak bergelar pelakon pada 2021.
Polis ‘terjah’ set Ram Ram Rep ketika rakaman babak pelakon menjerit minta tolong
“Sebelum ini saya membintangi tiga drama yang disiarkan di TVS dengan memegang peranan utama,” katanya.
Pada masa sama Michelle berkata sebagai anak seni berdarah campuran Kelabit, dia berbangga kerana diberi peluang membawa watak utama dalam filem itu.
“Sebenarnya saya kacukan Cina dan Kelabit dan dibesarkan oleh datuk dan nenek. Merekalah yang mengajar saya budaya dan pertuturan bahasa itu.
“Sebenarnya bahasa Kelabit hampir pupus kerana tidak ramai yang bertutur sekarang, jadi saya harap filem ini mampu mempromosikan bahasa itu,” katanya.
Bercerita mengenai heronya dalam filem itu, Michelle berkata, Syafie tidak lokek berkongsi ilmu di set penggambaran.
“Dia sangat baik dan mudah bekerjasama dengannya dalam filem ini,” katanya.
Sementara itu pengarah yang juga penulis skrip filem itu Josh Nawan berkata, pengalaman ketika kecil menjadi inspirasinya untuk menghasilkan karya berkenaan.
“Saya olah sedikit untuk disesuaikan dengan jalan cerita,” katanya yang turut berhasrat untuk membawa filem itu bertanding pada festival antarabangsa.
Mengenai kehadiran Syafie dalam filem itu, Josh berkata dia bertuah kerana berjaya mendapatkan pelakon berpengalaman itu yang diakui sebagai salah seorang aktor muda terbaik di Malaysia.
Tambah Josh, Syafie datang ke lokasi membawa pengalaman dan seterusnya membimbing pelakon baharu.
“Apa yang boleh saya katakan, 99 peratus krew dan pelakon berasal dari Sarawak dan bagi kebanyakan pelakon pula, ini merupakan pengalaman pertama mereka beraksi di depan kamera,” katanya. -TVS.