KUCHING, 23 Okt: Penganjuran julung kali Bazar Deepavali di bandar raya ini pada tahun ini adalah permulaan yang baik untuk meningkatkan tahap perpaduan dan keharmonian di Sarawak.
Datuk Bandaraya Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata menerusi penganjurannya, komuniti India akan berpeluang mengetengahkan budaya mereka kepada komuniti lain.
“Saya tahu ini adalah Bazar Deepavali 2024 yang pertama (diadakan di Kuching) meskipun ia adalah permulaan yang kecil tetapi satu permulaan yang baik.
“Pada tahun depan semasa Festival Kuching, silakan datang dan sertai kami untuk mempamerkan budaya masyarakat India,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Bazaar Deepavali 2024 Sarawak di sini, hari ini.
Tambahnya, beliau berharap agar bazar tersebut dapat dianjurkan semula pada tahun hadapan bagi memperkukuhkan lagi perpaduan.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan India Kuching, Artmanasalam Vengidasalam berkata penganjuran Bazaar Deepavali 2024 Sarawak adalah simbolik bagi menandakan pergaulan erat masyarakat India di bandar raya ini.
Bazaar Deepavali 2024 Sarawak akan berlangsung pada 23 hingga 27 Oktober 2024.
Gerai-gerai jualan di bazar tersebut menyajikan pelbagai jenis makanan tradisional masyarakat India dengan beberapa perkhidmatan lain seperti melukis henna serta pameran pendidikan. – TVS