KUCHING, 23 Okt: Seramai 7,039 orang profesional berdaftar sebagai ahli Lembaga Teknologi Malaysia (MBOT) di Sarawak setakat September lalu.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata pihaknya telah bekerjasama dengan Persatuan Juruteknik dan Juruteknologi Profesional (APTT) dan agensi lain untuk mencapai matlamat dalam meningkatkan kecekapan tenaga kerja.
Menurutnya kerjasama terbabit merupakan satu usaha memperkasa serta memperkukuhkan kebolehan tenaga kerja bagi memastikan Sarawak mampu berdaya saing di peringkat global.
“Semasa acara MBOT ENTICE 2024 baru-baru ini, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk mendaftar sebagai ahli teknologi atau juruteknik, menyasarkan 10,000 pendaftaran menjelang 2025.
“Sehingga September 2024, Sarawak mempunyai 7,039 profesional berdaftar dan kami bekerjasama dengan Persatuan Juruteknik dan Juruteknologi Profesional (APTT) dan agensi lain untuk mencapai matlamat ini,” katanya.
Beliau berucap semasa Seminar Pembangunan Profesional Berterusan Industri (ICPD) di Hotel Imperial di Kuching pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan bahawa pihaknya telah mendapat lebih 500 peserta dalam program iCPD yang diadakan di Miri, Lawas, Bintulu dan Sibu.
Tambahnya, iCPD akan diteruskan tahun depan, dan berharap untuk melihat lebih banyak penglibatan daripada industri dan komuniti. – TVS