KUALA LUMPUR, 23 Okt: Sebanyak 13.8 juta liter diesel bersubsidi yang dijual secara haram berjaya dirampas dengan nilai dianggarkan sebanyak RM31 juta melalui Ops TIRIS 3.0.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata jumlah rampasan berkenaan telah direkodkan dari Januari hingga 19 Oktober lepas, menurut statistik keseluruhan meliputi serahan kes melibatkan agensi penguatkuasaan lain.
“Gerak kerja penguatkuasaan dilaksanakan melalui Ops TIRIS yang telah bermula pada bulan Mac 2023 dan berdasarkan statistik Ops TIRIS 3.0, Januari hingga 19 Oktober 2024, KPDN telah melakukan 30,634 pemeriksaan dan menghasilkan sebanyak 1,561 kes melibatkan penyelewengan diesel.
“Selain itu, setakat Januari hingga Oktober 2024, KPDN telah membuka sebanyak enam kertas siasatan dibawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram,” katanya pada Sidang Dewan Rakyat hari ini.
Armizan turut mendedahkan sebanyak enam kertas siasatan telah dibuka dibawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram setakat bulan ini.
Bagi membanteras isu berkenaan dengan lebih proaktif, KPDN akan terus memperkasa kerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain yang mempunyai bidang kuasa berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melalui Ops TIRIS.
“KPDN juga telah menempatkan pegawai penguatkuasa secara pentadbiran di lapan pintu masuk serta melaksanakan pembatalan dan penggantungan lesen barang kawalan berjadual melibatkan penjualan diesel pada peringkat pengilang, pemborong dan runcit dan pada masa sama penguatkuasaan ketat terhadap permit barang kawalan berjadual adalah merupakan salah satu strategi.
“Selain itu, kita juga melaksanakan tindakan-tindakan yang melibatkan aspek pengurusan risiko,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau berkata KPDN sentiasa komited untuk menangani isu penyelewengan bahan api diesel bersubsidi sejajar dengan fokus kerajaan untuk membanteras sebarang bentuk ketirisan subsidi yang sering ditegaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. – TVS