KUALA LUMPUR, 22 Okt: Susulan Sarawak menerima peruntukan sebanyak RM5.9 bilion daripada Kerajaan Persekutuan dalam Belanjawan 2025, Ahli Parlimen Hulu Rajang mahu peruntukan itu digunakan untuk mempercepatkan pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Tapak Megah berhampiran Ulu Baleh.
Menurutnya, pembinaan ICQS di kawasan berkenaan amat penting bagi melindungi tiga empangan terbesar Sarawak iaitu Empangan Baleh, Empangan Murum dan Empangan Bakun yang dikatakan adalah merupakan aset Sarawak yang bernilai bilion Ringgit.
“Saya meminta pembinaan ICQS ini dapat dipercepatkan kerana di kawasan saya (Parlimen Hulu Rajang) dan sempadan Kalimantan, Indonesia iaitu Long Nawang adalah jarak 20 kilometer (km) di Long Nawang.
“Bukan itu sahaja, banyak pendatang-pendatang asing masuk ke kawasan kita tanpa pas atau permit yang sah dan sudah tentu akan berlakunya anasir-anasir jahat seperti aktiviti penyeludupan dadah serta aktiviti pemerdagangan manusia yang boleh menakutkan penduduk disekitarnya,” katanya ketika ditemui TVS di Parlimen Malaysia di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau menegaskan pembinaan ICQS itu wajar disegerakan agar aktiviti berkenaan dapat dibanteras dengan baik dan secara tidak langsung keselamatan rakyat serta empangan-empangan di kawasan berkenaan dalam keadaan terkawal dan selamat.
Bukan itu sahaja, Wilson juga mahu peruntukan yang disalurkan itu juga untuk membina infrastruktur seperti jalan raya luar bandar khususnya di kawasan pedalaman kerana ia mampu membuka ekonomi setempat terutamanya penduduk di rumah panjang di sekitar kawasan Baram dan Hulu Rajang.
“Kalau pembinaan jalan raya dapat dibangunkan untuk penduduk di kawasan luar bandar seperti kawasan Parlimen Hulu Rajang, maka penduduk di kawasan berkenaan tidak tertinggal dek arus pemodenan dan pembangunan.
“Bukan itu sahaja, infrastruktur bekalan air dan bekalan elektrik juga harus dipercepatkan,” tegasnya lagi.
Pembinaan ICQS itu juga amat kritikal berikutan pembinaan projek ICQS yang dibangunkan oleh Kerajaan Indonesia di kawasan Nusantara sudah siap dan telah dirasmikan pada hujung tahun lepas. – TVS