KUCHING, 22 Okt: Persidangan Sarawak Urban Forum (SUF) 1.0 berupaya menjadi platform penting bagi menyuarakan idea dan kreativiti untuk menjadikan bandar yang lebih inklusif, mampan, dan berdaya tahan.
Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman berkata, forum tersebut menyediakan ruang bagi perbincangan dan mencari solusi dalam mengimbangi pertumbuhan bandar yang pesat dengan kemampanan ekonomi, alam sekitar serta sosial.
Katanya, perkongsian daripada panel dan speaker tersebut diyakini mampu memberikan inspirasi kepada bandar-bandar di sekitar.
“Perspektif yang pelbagai telah diketengahkan dalam perbincangan dan telah memberi kami semua pandangan baharu tentang cara boleh menjadikan bandar kami lebih inklusif, mampan, dan berdaya tahan.
“Sama ada anda menyumbang melalui pembentangan, bengkel, atau pun perbualan adalah penting untuk kejayaan acara ini,” katanya.
Beliau berucap semasa Penutupan Persidangan Sarawak Urban Forum (SUF) 1.0 di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC) di Kuching pada Selasa.
Persidangan SUF 1.0 telah menampilkan kira kira 19 orang panelis dan speaker dari Sarawak, Semenanjung Malaysia dan daripada luar negara seperti Jepun, Brunei Darussalam dan Indonesia.
Pelbagai topik menarik telah dibentangkan oleh para panelis dan speaker dari Sarawak, Semenanjung Malaysia, Wakil UNICEF Malaysia-Brunei, Jepun dan Sepanyol. -TVS