KUCHING, 22 Okt: Inisiatif Sarawak mewujudkan persekitaran yang baik untuk kanak-kanak seiring persediaan menghadapi status negeri menua wajar dicontohi.
Pengarah Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) di Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Norma Mansor meyakini wilayah ini menyediakan perlindungan sosial kepada rakyatnya dengan baik.
“Sarawak bertuah sebab infrastruktur sekarang dibina waktu kita sedar bahawa masyarakat akan menjadi tua.
“Saya mempunyai harapan dan saya positif bahawa negeri Sarawak akan menjadi salah satu daripada negeri yang akan menjadi contoh dalam memperkenalkan perlindungan sosial yang lebih kukuh kepada rakyatnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Persidangan Dasar Sosial Serantau kali ke-2 Asia Timur dan Pasifik 2024 di Hotel Hilton, Kuching pada Selasa.
Oleh itu, bagi mencapai kelestarian masyarakat, jelas Norma, pelaburan untuk masa depan kanak-kanak bukan semata-mata kerana tanggungjawab sahaja, tetapi merupakan langkah strategik yang akan membentuk daya tahan serta kemakmuran semua masyarakat.
Dr Norma berkata usaha Sarawak untuk bekerjasama dengan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) melalui projek ‘Child-sensitive Integrated Social Protection Initiatives’ menyaksikan kesungguhan kerajaannya memelihara kesejahteraan kanak-kanak yang merupakan aspek penting untuk menjamin masa depan negara.
Tambahnya penyediaan persekitaran yang selamat dan kondusif dapat membantu perkembangan kanak-kanak agar mereka dapat membesar, sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara.
“Seperti yang disebutkan oleh salah satu daripada tetamu yang bercakap tadi yang mengatakan bahawa setiap seorang kanak-kanak di Malaysia ini amat berharga, kita tidak boleh kehilangan walau satu pun kanak-kanak.
“Jadi, kita mesti jaga, pupuk seseorang anak itu supaya dia sihat dan dapat belajar, kerana mereka lah yang akan membantu generasi sekarang mendapatkan produktiviti untuk negara supaya masa depan kita terjamin,” katanya.- TVS