KUCHING, 22 Okt: Kerajaan Sarawak optimis meningkatkan dasar perlindungan sosial terhadap kanak-kanak yang menjadi asas kepada pembangunan negara mampan seiring mendepani cabaran global.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dasar tersebut adalah untuk memastikan tiada kanak-kanak yang tinggal, selain menambah baik akses pelajaran dan kesihatan untuk golongan tersebut di seluruh rantau ini.
“Pelaburan untuk kanak-kanak bukan sekadar kewajipan moral, tetapi ia adalah satu keperluan ekonomi. Penyelidikan telah menunjukkan pelaburan awal dalam pendidikan dan kesihatan membuahkan hasil pulangan yang signifikan, bukan sahaja untuk individu, tetapi untuk masyarakat.
‘Oleh itu, ini adalah seruan untuk kita semua bertindak. Kita perlu memastikan bahawa setiap kanak-kanak mempunyai akses kepada pendidikan yang berkualiti, penjagaan kesihatan dan perlindungan sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, sekali gus merasmikan Persidangan Dasar Sosial Serantau kali ke – 2 Asia Timur dan Pasifik 2024 di Hotel Hilton, di sini, pada Selasa.
Jelasnya lagi, sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan rangka kerja perlindungan sosial di wilayah ini, Kerajaan Sarawak juga bekerjasama dengan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) menerusi projek ‘Child-Sensitive Integrated Social Protection Initiatives’ untuk mengintegrasikan bantuan sosial serta intervensi awal kepada kanak-kanak dan pendidikan keibubapaan.
“Kerjasama berterusan ini mencerminkan komitmen kita untuk meningkatkan perlindungan sosial dan hasil pemakanan untuk kanak-kanak di Sarawak.
“UNICEF melaporkan bahawa bagi setiap dolar yang dilaburkan dalam perkembangan awal kanak-kanak, terdapat pulangan sehingga $12 (RM53) dalam faedah ekonomi,” ujarnya lagi.
Bertemakan ‘Prioritizing Investments in Children in a Changing Region’, persidangan kali ini disertai 250 delegasi dari 14 negara di seluruh Asia Timur serta Pasifik dan ia berlangsung selama dua hari bermula 22 sehingga 23 Oktober 2024.
Persidangan ini dianjurkan bersama oleh Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) dan Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC), Universiti Malaya dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak. – TVS