KUALA LUMPUR, 22 Okt: Kementerian Pendidikan (KPM) memperuntukkan RM31 juta bagi kerja naik taraf dan penyelenggaraan tandas sekolah di Sarawak yang tidak sempat disiapkan pada tahun lalu.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata peruntukan bagi penyelenggaraan itu melibatkan 310 sekolah rendah (SK) di bawah Jabatan Pendidikan Sarawak untuk tahun ini.
“Untuk makluman, KPM pada 2023 telah menyalurkan peruntukan khas naik taraf dan penyelenggaraan kecil institusi pendidikan tahun 2023 sebanyak RM654.29 juta bagi tujuan kerja penyelenggaraan tandas dan penyelenggaraan kecil di SK dan institusi pendidikan (Kolej Matrikulasi, Institut Aminuddin Baki dan Institusi Pendidikan Guru) melibatkan sebanyak 8,354 sekolah dan institusi pendidikan bawah KPM dengan pecahan kepada 8,306 buah SK serta 48 buah institusi pendidikan bukan sekolah.
“Bagaimanapun, pelaksanaan penyelenggaraan tandas bagi 310 sekolah di Sarawak telah ditangguhkan berikutan kekangan masa, lokaliti dan kekurangan pekerja binaan seperti yang dilaporkan oleh pihak Jabatan Pendidikan Sarawak dan Pejabat Pembangunan Sarawak,” katanya pada Sidang Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen Tanjong Karang Dato Dr Zulkafpreri Hanapi meminta Menteri Pendidikan menyatakan data semasa bagi projek penyelenggaraan tandas institusi pendidikan KPM pada tahun 2024.
Bukan itu sahaja, Kah Woh berkata KPM juga telah menyediakan peruntukan khas bagi kerja naik taraf dan penyelenggaraan kecil kepada sekolah bantuan kerajaan (SBK) yang berfokuskan kepada fasiliti tandas berjumlah RM134.33 juta.
Katanya, KPM telah menyalurkan peruntukan khas tersebut sebanyak RM124.73 juta untuk tujuan naik taraf dan penyelenggaraan kecil tandas di SBK dan baki peruntukan tersebut telah digunakan untuk tujuan penyelenggaran kecil lain di SBK.
“KPM sentiasa memastikan peruntukan penyelenggaraan diagihkan dengan adil dan sewajarnya kepada semua jenis sekolah KPM sama ada SK atau SBK,” katanya. – TVS