KUALA LUMPUR, 22 Okt: Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi meluahkan kekecewaanya apabila Kementerian Pendidikan (KPM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) pada mulanya membuka Pengambilan Guru Khas Sarawak kepada anak Sarawak tetapi dibuka kepada pemohon dari seluruh negara.
Sehubungan itu, beliau menuntut penjelasan daripada KPM dan SPP secara terperinci kepada Kerajaan Sarawak agar polemik yang menganggu emosi banyak pihak itu dapat diredakan.
Menurutnya, inisiatif berkenaan adalah bertujuan untuk mengisi masalah kekosongan guru yang kritikal sekarang di Sarawak serta memastikan keutamaan kepada calon guru dari kawasan yang terdapat kekosongan untuk mengatasi masalah guru yang sering berpindah tempat kerja.
“Adakah benar pihak SPP telah memungkiri janji dan kenapa ini terjadi? Saya juga ingin bertanya, berapakah jumlah keseluruhan calon guru yang memohon melalui inisiatif Pengambilan Guru Khas Sarawak ini?
“Berapa orangkah calon dari Sarawak termasuk dari negeri lain? Berapa orangkah calon yang telah di senarai pendek untuk di temuduga dan berapakah jumlah guru yang akan di ambil untuk mengisi kekosongan guru di Sarawak,” soalnya.
Beliau mengutarakan persoalan itu pada sesi perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat semalam.
”Saya juga ingin tahu berapa orangkah, calon guru asal Sarawak yang berjaya dalam temuduga dan apakah kriteria-kriteria pemilihan serta bilakah penempatan guru baharu akan berkuatkuasa dan setelah inisiatif Pengambilan Guru Khas Sarawak ini selesai berapakah lagi jumlah kekosongan guru di Sarawak samada Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah,” katanya lagi.
Beliau juga menekankan bahawa Daro adalah antara daerah di Sarawak yang kekurangan guru yang sangat ketara selain dari Serian, Betong, Kapit, Saratok dan Subis.
Bukan itu sahaja, beliau juga mahu KPM mengambil langkah yang serius dalam menangani isu ‘Guru Duka Lara’ yang telah lama berlarutan serta mencari kaedah terbaik bagi mengatasi masalah berkenaan.
“Pihak Kementerian sewajarnya mengutamakan faktor kemanusiaan bukan sahaja dari segi keperluan tugas dan saya faham bahawa kekosongan jawatan serta keperluan opsyen di sesebuah negeri atau daerah adalah prinsip asas kepada KPM dalam memberi kelulusan pertukaran guru duka lara ini harus di beri keutamaan.
“Sekiranya tiada kekosongan jawatan dan keperluan opsyen bagi permohonan pertukaran ke negeri yang dipohon, pertimbangan pertukaran harus di berikan kepada negeri pilihan kedua atau ketiga pemohon serta kepada negeri yang berdekatan atau asal sahaja di Semenanjung Malaysia kerana jika berlaku apa-apa kecemasan mereka boleh balik pada hari yang sama,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn telah meluahkan rasa kekecewaan atas isu yang berbangkit ini.
Pengisian jawatan bagi Inisiatif Pengambilan Khas Guru Sarawak yang telah dibuka pada 1 hingga 23 Ogos telah dan terbuka kepada semua graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dan termasuk graduan Ijazah Sarjana Muda bukan Pendidikan. – TVS